Sunday, September 9, 2012

:: Jodoh itu rahsia ALLAH ::


“Saya pergi sini, orang bicara tentang kahwin. Pergi sana, tentang kahwin lagi. Kawan-kawan baik saya semua sudah berkahwin. Peer pressure!”. Walaupun penuh emosi, namun hanya luahan perasaan tanpa kesesalan.



“Ya, jangan risau. Saat penantian kita adalah pencarian diri. Orang boleh cakap kita akan kahwin awal, doktor sukar nak cari jodoh dan sebagainya. Takulan manusia tidak tepat. Hanya Allah tahu bila kita bersedia. Lambat atau awal itu rezeki. Jodoh.” Pendapat diluahkan selepas pengamatan pada isu yang sama.



“Yes, wait for the right time, the right person.” 


Benar, jodoh itu rahsia Allah. Sungguh penuh debaran menantinya. Benar bukan? Bagi yang sudah bertemu jodoh, perjalanan hidup baru dimulakan. Bagi yang belum bertemu jodoh, gunakanlah kesempatan yang ada untuk mencari diri. Dalam penantian, bina kefahaman tentang konsep jodoh, konsep perkahwinan, konsep manusia itu dijadikan berpasang-pasangan.


Andai ditakdirkan dengan seseorang yang tidak disangka-sangka. Ambillah masa, fikirlah dahulu dan pertimbangkan. Biarpun lama masa diambil untuk membuat keputusan, biarlah penuh keyakinan dan tawakal pada Allah akhirnya. Yakinlah Allah sentiasa memberikan yang terbaik. Masa bertemu jodoh mahupun jodoh itu sendiri.


“Janganlah risau jodoh kamu tidak sampai lagi. Bila emak bersedia nanti, emak doakan banyak-banyak ye. Emak tak sampai hati nak berpisah dengan kamu. Emak belum bersedia lagi. “  bicara hati seorang ibu.


Anak-anak, ibu sayu melepaskan kamu.


Wanita ditakdirkan penuh emosi. Andai ayah amat mudah memberikan `greenlight` buat anak-anaknya mendirikan rumahtangga. Namun hal ini sedikit berbeza dipamerkan oleh kaum ibu. Ibu yang memang zahirnya penuh emosi punya ikatan hati yang amat kuat dengan anak-anaknya. Membawa kita selama sembilan bulan didalam kandungan sudah cukup jelas menggambarkan bagaimana emosi yang kuat boleh terbentuk. Emosi inilah menjadikan mereka cukup bersabar dan gagah walaupun fizikilnya lemah berbanding lelaki.
Bayangkan, rata-rata dikalangan kita pada hari ini bersekolah asrama sejak tingkatan satu. Kemudian melangkah ke matrikulasi atau kolej dan terus ke universiti. Dihitung-hitung, berapa sangatlah masa yang sempat kita luangkan bersama mereka. Belum ditolak masa-masa bersama yang tidak berkualiti.


Andai anak-anak meminta untuk berkahwin awal tidak dipersetujui oleh ibu terutamanya, pause dahulu. Jangan mudah melatah menyalahkan ibu. Fahamilah, ibu itu tidak pernah ada udang di sebalik batu. Tidak pernah cemburu pada anaknya sendiri. Namun halangan bersifat sementara ini hanyalah kerana masih mahu bersama anak-anaknya buat seketika.
Tangguhlah dahulu kerana emak belum puas mendidik dan memberikan kasih sayang pada kamu.


Hal ini lebih terkesan buat anak perempuan. Apabila sudah bernikah kelak, segala ketaatan adalah pada suaminya. Walaupun masih merupakan seorang anak buat kedua ibu bapanya, namun sudah menjadi lumrah bahawa anak yang menjadi isteri orang tidak lagi sama seperti dahulu. Berbeza.


Andai ibu bapa meminta ditangguhkan seketika. Muhasabah kembali. Samaada kita masih belum bersedia. Kita perlu lebih banyak luangkan masa dan raikan ibu bapa. Atau apa sahaja alasannya, bersabarlah dan laluilah dengan ikhlas. Pujuklah hati mereka dengan penuh lemah lembut serta kesabaran. Pasti akhirnya Allah permudahkan



Ayat-Ayat Cinta


Walaupun kaedah lakonan filem ini tidak saya persetujui, namun saya tidak nafikan, dialog-dialognya memberikan kesan. Hasil adaptasi dari buku yang cukup bagus saya kira. Hayati bait-bait dialog di dalam filem ini. Moga bertemu konsep jodoh, menambah kefahaman tentang CINTA.

Jodoh itu rahsia Allah.


Perkahwinan itu satu permulaan untuk babak-babak seterusnya dalam kehidupan.


CINTA itu perjuangan. Perlu diusahakan, ada rintangan


 Bertemu jodoh, jodoh itu bukan milik kita. Jodoh itu milik Allah. Maka letakkan ianya di dalam kawalan. Bukan mengikut hati dan perasaan. Selamat berkelana dalam penantian yang membuahkan pencarian diri bagi mengejar jodoh hakiki 

1 comment: